KESAN INFLASI KE ATAS PELABURAN ANDA.

6 Oct 2009 | |

Kenaikan harga petrol dan elektrik baru-baru ini telah menyebabkan harga barang-barang keperluan semakin meningkat. Dengan meningkatnya harga barang, orang ramai mula risau mengenai kesan inflasi terhadap kehidupan mereka kerana ia akan membuatkan kuasa beli mereka semakin menurun. Jumlah wang yang perlu dibelanjakan untuk membeli sesuatu barang akan bertambah berbanding masa lalu. Jika dahulu kita boleh membeli pelbagai barang dengan sekeping duit RM50, nilai duit RM50 sekarang semakin berkurangan.
Bagi mereka yang masih muda, sekurang-kurangnya anda masih mempunyai peluang untuk menambahkan pendapatan bagi mengatasi kesan kenaikan harga barang. Disamping itu, anda juga boleh meningkatkan simpanan anda di bank. Tetapi untuk golongan yang hampir atau sudah pun bersara, kenaikan kadar inflasi sudah pasti akan memberi kesan yang mendalam kepada simpanan serta pelaburan yang telah mereka peruntukkan untuk persaraan.
Apa itu Inflasi?
Daripada perspektif ekonomi, inflasi merujuk kepada kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan yang mewakili keseluruhan ekonomi negara. Indeks yang di gunakan untuk mengukur kadar inflasi ialah indeks harga pengguna atau Consumer Price Index (CPI). Menurut unjuran Kerajaan yang terbaru dalam Bajet 2009, kadar inflasi negara akan berada pada paras 4.4% untuk tahun 2008 walaupun kadar inflasi pada bulan Julai telah meningkat kepada 8.5%, iaitu paras yang tertinggi semenjak Disember 1981.

Bagaimana inflasi memberi kesan kepada pelaburan anda?
Kita sudah pun tahu bahawa inflasi akan mengurangkan nilai wang anda. Harga secawan kopi di gerai 10 tahun lalu jauh lebih murah berbanding sekarang. Tetapi bagaimana pula dengan portfolio pelaburan anda? Adakah kadar inflasi akan memberikan kesan kepada pelaburan anda? Cuba kita perhatikan daripada aspek pelaburan saham, bon kadar tetap (fixed-rate bond), hartanah dan wang tunai.

(i) Saham
Pada peringkat awal, kenaikan kadar inflasi akan memberi kesan negatif ke atas pasaran saham. Harga-harga saham bagi syarikat-syarikat yang tidak dapat memindahkan kesan inflasi kepada para pengguna akan terjejas lebih-lebih lagi kepada syarikat-syarikat yang terpaksa menerima hakikat bahawa margin keuntungan mereka akan berkurangan. Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, saham merupakan instrumen pelaburan lindung nilai yang baik untuk mengatasi kesan inflasi. Ini kerana perolehan syarikat lazimnya meningkat bersama inflasi. Faktor yang paling penting di sini ialah untuk memilih saham yang berpotensi atau saham-saham yang mendapat manfaat daripada inflasi, contohnya saham syarikat tenaga atau besi kerana komoditi tersebut berkait rapat dengan aktiviti ekonomi. Selain daripada itu syarikat bermodal besar (large cap) yang memiliki kedudukan wang tunai yang kukuh juga mampu mengatasi kesan inflasi.

(ii) Bon kadar tetap (fixed-rate bond)
Sekiranya anda telah melaburkan sejumlah wang yang banyak dalam bon kadar tetap, kadar inflasi yang meningkat semestinya akan menjejaskan pulangan pelaburan anda. Memandangkan anda akan menerima bayaran faedah yang tetap pada masa akan datang, kadar inflasi tinggi akan menyebabkan nilai masa hadapan (future value) pendapatan tetap berkala tersebut dan prinsipal yang bakal diterima menyusut. Apa yang dikhuatiri ialah jika kadar faedah naik disebabkan kenaikan kadar inflasi, harga bon yang dipegang anda akan turun kerana pulangan daripada pelaburan tersebut dianggap kurang menarik berbanding dengan pulangan bon-bon yang baru diterbitkan yang lazimnya lebih tinggi. Jika anda ingin berjinak-jinak dalam pelaburan bon, masa untuk anda mula melabur dalam bon ialah apabila inflasi berada pada paras tertinggi dan pada masa yang sama, kadar faedah juga melonjak naik.

Namun, jika anda mengambil kira keadaan sekarang, anda akan dapati bahawa walaupun kadar inflasi negara berada pada paras tertinggi, kadar faedah masih lagi berada pada paras lama. Ini kerana, kenaikan kadar inflasi sekarang berpunca daripada kesan faktor tolakan-kos (cost-pushed factor) dan bukannya kesan faktor tarikan permintaan (demand-pulled factor). Maksudnya, kadar inflasi meningkat kerana kenaikan harga barang dan perkhidmatan dan bukannya disebabkan peningkatan dalam permintaan. Dalam situasi sebegini, anda perlu mengamalkan pendekatan “tunggu dan lihat” sehinggalah situasi kembali stabil.
(iii) Hartanah
Dalam jangka masa panjang, melabur dalam hartanah telah pun terbukti keberkesanannya sebagai instrumen lindung nilai untuk mengatasi masalah inflasi. Namun, melabur secara langsung dalam hartanah memerlukan wang yang banyak dan tempoh pegangan yang lama. Selain itu, terdapat pelbagai risiko lain yang perlu ditangani jika melabur secara langsung dalam sektor hartanah. Satu lagi alternatif untuk pelaburan dalam bidang hartanah ialah dengan melabur secara tidak langsung melalui Tabung Amanah Pelaburan Hartanah atau REIT (Real Estate Investment Trusts). REIT atau Tabung Amanah Pelaburan Hartanah merupakan produk pelaburan kolektif (biasanya dalam bentuk tabung unit amanah) yang mengumpulkan wang daripada pelabur dan menggunakan modal terkumpul itu untuk membeli, mengurus dan menjual aset hartanah (contohnya bangunan komersil, bangunan pejabat, gudang, hotel, ladang, lot kedai atau industri, atau sekuriti yang berkaitan dengan hartanah (misalannya, saham syarikat hartanah awam tersenarai (listed property stocks), sekuriti hutang tersenarai (listed bonds) atau tidak tersenarai (unlisted bonds) dan sebagainya). Objektif utama REIT adalah untuk memberi pulangan pelaburan dalam bentuk dividen yang stabil dan kerap hasil daripada bayaran sewa yang dibayar oleh penyewa hartanah. Disamping itu, pemegang unit juga berpeluang untuk menerima sebarang kenaikan modal hasil daripada pemegangan aset hartanah tersebut bagi sesuatu tempoh jangkamasa.

(iv) Wang Tunai
Secara logiknya, kategori ini sepatutnya menerima kesan yang paling ketara berbanding kategori pelaburan yang lain. Jika anda menyimpan wang anda dalam simpanan tetap selama 12 bulan dengan kadar pulangan sebanyak 3.7% sedangkan kadar inflasi ialah 4.4% (berdasarkan bajet 2009), pulangan sebenar anda ialah negatif 0.7%. Walau bagaimanapun, dalam jangka masa pendek, pulangan negatif ini sesuatu yang boleh dianggap perkara yang biasa dan boleh diterima memandangkan pulangan untuk kebanyakan produk pelaburan yang terdapat di pasaran juga tidak menentu.

Berdasarkan faktor-faktor di atas, sebenarnya portfolio pelaburan yang ideal patut mempunyai pelbagaian untuk memenuhi kehendak pelaburan yang berbeza-beza. Contohnya, jika anda inginkan pertumbuhan dalam pelaburan, anda perlu melabur sebahagian daripada pelaburan anda dalam aset-aset yang terbabit dalam pertumbuhan ekonomi, contohnya seperti saham dan hartanah. Untuk jangka masa panjang, saham merupakan pelindung nilai yang baik untuk mengatasi kesan inflasi. Jika anda mahukan aliran tunai yang stabil dan konsisten pula, sekuriti pendapatan tetap merupakan pelaburan yang sesuai. Akhir kata, walaupun anda tidak dinasihatkan untuk menyimpan terlampau banyak wang tunai tetapi anda masih perlu simpanan yang secukupnya untuk waktu kecemasan. Secara amnya, ramai perancang kewangan yang berlesen menyarankan agar anda mempunyai simpanan yang dapat menampung perbelanjaan anda sekurang-kurangnya selama 6 bulan. Satu lagi pesanan yang penting yang selalu kita dengar ialah perumpamaan inggeris yang mengatakan ”Never put all your eggs in one basket!” yang menyarankan supaya tidak meletakkan wang anda dalam satu produk pelaburan sahaja. Pastikan anda mempelbagaikan pelaburan anda sebagai salah satu langkah untuk menangani risiko pelaburan.

0 comments: