Apakah Tempoh Masa Pelaburan Anda?

8 Oct 2009 | |

Adakah anda tahu sama ada anda adalah pelabur jangka pendek, jangka sederhana atau jangka panjang? Apakah definisi umum bagi tiga tempoh masa ini? Biasanya, tempoh masa pelaburan merujuk kepada jangka masa sesuatu pelaburan itu dipegang sebelum dijual bagi penukaran tunai (pencairan). Tempoh masa itu mungkin satu minit bagi pedagang harian, atau beberapa dekad bagi pelabur yang membeli saham dan memegangnya. Apakah tempoh masa yang betul? Sebenarnya, tiada jangka masa yang “betul” atau “salah” bagi pelaburan – ia bergantung kepada objektif dan matlamat pelaburan pelabur serta tahap toleransinya terhadap risiko, iaitu berapa banyak risiko yang bersedia diambilnya.

Oleh kerana setiap pelabur boleh mendefinisikan tempoh masa pelaburannya dalam pelbagai cara, mari kita lihat definisi umum mengenai jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi pelaburan.

Tempoh masa
Biasanya, tempoh masa pelaburan boleh diklasifikasikan sebagai–

  • jangka masa pendek – satu hingga tiga tahun
  • jangka masa sederhana – tiga hingga lima tahun
  • jangka masa panjang – lebih daripada lima tahun.

Mengapa anda perlu mengetahuinya?

Mengetahui tempoh masa anda amat penting kerana ini dapat membantu anda dalam perancangan pelaburan, umpamanya memilih produk pelaburan yang sesuai, memantau prestasi pelaburan tersebut dan lebih penting lagi, mengurus risiko pelaburan. Anda juga mampu melabur dengan lebih agresif jika anda mempunyai tempoh masa pelaburan yang panjang. Misalannya, seseorang yang berusia 25 tahun dan baru memulakan kerjaya boleh melabur dalam produk pelaburan yang lebih mudah turun naik atau berisiko memandangkan dia mempunyai jangka masa yang lebih panjang untuk membuat pengubahsuaian yang perlu jika pelaburan itu mengalami kerugian. Tetapi, seseorang yang hampir bersara secara umumnya patut lebih konservatif dan mengambil jalan yang kurang berisiko memandangkan dia tidak mempunyai banyak masa untuk membuat pengubahsuaian sekiranya pelaburannya tidak berjalan sebagaimana yang diharapkan.

Bagaimanapun, umur tidak harus menjadi satu-satunya faktor dalam menentukan tempoh masa pelaburan anda. Faktor lain seperti toleransi terhadap risiko, objektif pelaburan, jangkaan pulangan dan juga bila anda memerlukan pelaburan atau wang itu, harus juga diambil kira. Misalannya, seorang yang berusia 30 tahun menyimpan wang untuk bayaran pendahuluan membeli rumah dan dia merancang untuk membeli rumah dalam masa setahun. Disebabkan jangka masa yang pendek, dia perlu berhati-hati dan melabur secara lebih konservatif kerana dia hanya ada sedikit masa untuk membetulkan pelaburannya sekiranya mengalami kerugian. Oleh kerana mempunyai matlamat jangka pendek, dia tidak boleh melabur dalam produk berisiko walau pun masih lama lagi masanya sebelum tiba tempoh bersara.

Sebagai pelabur bijak, penting bagi anda menimbangkan dan menentukan batas masa pelaburan anda sebelum melabur. Tetapi janganlah sampai ia tidak boleh diubah kerana batas masa yang dibuat perlu fleksibel supaya dapat disesuaikan dengan keadaan sekiranya pelaburan anda tidak bergerak sebagaimana yang dijangkakan. Dalam situasi ini, anda mesti sentiasa bersedia menukar batas masa pelaburan dan menentukannya mengikut kepentingan anda.

0 comments: