7 KESILAPAN LAZIM DALAM MENGURUSKAN WANG

7 Dec 2009 | | 0 comments

“Saya telah bekerja selama 20 tahun tetapi sehingga kini wang simpanan saya hanya sedikit sahaja. Kadangkala, saya tertanya-tanya kemanakah perginya wang saya?” - Pn. Hasnah - Eksekutif

Pernahkah anda mendengar keluhan sebegini? Jika anda bertanya orang di sekeliling anda, besar kemungkinan anda akan berjumpa sekurang-kurangnya seorang yang sependapat dengan Puan Hasnah.
Jika anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenalpasti terlebih dahulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan agar anda dapat belajar daripadanya.

Kesilapan 1 : Gagal Merancang

Jika anda bertanya kepada orang disekeliling anda, pasti anda akan dapati ramai diantara kita yang tidak merancang kewangan. Alasan yang selalu diberikan ialah “Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya”. Sikap acuh tak acuh ini akan menjejaskan kedudukan wang anda, contohnya anda akan selalu membayar cukai yang tinggi, membiarkan pelaburan tidak berkembang dalam tempoh yang lama atau tidak bijak memilih produk-produk pelaburan/kewangan yang sesuai dengan anda. Dengan bebanan kerja yang banyak, ramai diantara kita yang tidak memberi keutamaan kepada pengurusan wang dan membiarkan keadaan menjadi penentunya.
Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan yang berpendapatan sederhana, tabiat MERANCANG KEWANGAN akan membolehkan anda menjadi seorang yang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.

Kesilapan 2 : Berbelanja Melebihi Kemampuan

Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan-rakan dan juga iklan-iklan disekeliling kita. Saban hari iklan-iklan di TV, surat khabar dan kompleks membeli belah banyak mempromosikan gaya hidup yang mewah. Telefon bimbit model terkini, kereta mewah dan juga fesyen terbaru banyak mendorong kita untuk berbelanja diluar daripada kemampuan. Apatah lagi, ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai diantara kita yang hanya mempunyai baki yang sangat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan setelah ditolak pinjaman rumah dan kereta; bayaran kad kredit, bil-bil dan sebagainya.

Kesilapan 3 : Berbelanja Menggunakan Kad Kredit

Tabiat beli dulu dan bayar kemudian merupakan perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai diantara kita yang memiliki lebih daripada satu kad. Walaupun kad kredit merupakan satu kemudahan tetapi ramai orang yang menyalahgunakannya dan menganggap ia adalah suatu alat untuk kita berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula, dengan bayaran minima setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minima tersebut, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari. Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Ini adalah realitinya kerana mengikut laporan kemuflisan (bankruptcy report), peratusan orang yang jatuh muflis sejak kebelakangan ini telah meningkat, terutama sekali dikalangan golongan muda. Oleh itu, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat. Dengan membuat bayaran minimum setiap bulan, anda mungkin boleh terus berbelanja, tetapi anda harus ingat bahawa ia akan menyebabkan anda mengalami kerugian besar di belakang hari.
Kesilapan 4 : Lewat Menabung Untuk Hari Tua

Ramai diantara kita yang ingin bersara awal. Tetapi untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Walaubagaimanapun, masih ramai diantara kita, terutamanya mereka yang sudah hampir bersara yang masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan yang diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Apa yang berlaku adalah sebaliknya dimana setiap kali gaji naik, perbelanjaan kita pula yang bertambah, contohnya pengubahsuaian rumah, kereta baru, menjadi ahli kelab tertentu untuk bersaing dengan rakan-rakan dan sebagainya. Perbelanjaan sedemikianlah yang menyebabkan kita sukar menabung untuk hari tua.
Kesilapan 5 : Melabur Dalam Produk Yang Tidak Bersesuaian

Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Jangan bergantung kepada kata-kata penasihat kewangan semata-mata kerana ada diantara mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Kadangkala ada penasihat kewangan yang tidak bertanggungjawab dan memberikan maklumat yang tidak tepat untuk meningkatkan komisen jualan mereka. Jadi pastikan anda meneliti ciri-ciri sesuatu produk pelaburan tersebut dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.
Kesilapan 6 : Tidak Menabung Untuk Waktu Kecemasan

Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan yang membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama sekali jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Keadaan akan menjadi lebih malang jika orang yang hilang pendapatan tersebut merupakan ketua keluarga atau pencari nafkah dalam keluarga. Tanpa insuran atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.
Kesilapan 7 : Terlampau Memikirkan Pasal Wang

Perkara di atas membincangkan tentang keperluan merancang kewangan dengan baik. Namun, dalam usaha memupuk tabiat yang baik tersebut, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara-perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan. Tanpa perkara ini, hidup anda tidak akan memberi sebarang makna walaupun anda mempunyai wang jutaan ringgit.
Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri tentang kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.
P.S : Jika anda ingin dapatkan khidmat nasihat kewangan percuma, sila hubungi saya di talian 019-9222 799



26 Nov 2009 | | 0 comments

MENGENAL PAKAR KEWANGAN PALSU.

| | 0 comments

Rancang Sendiri atau Dapatkan Bantuan?

Sekiranya anda sudah menyedari kepentingan merancang kewangan dan ingin maju ke hadapan dengan menjadikan perancangan kewangan sebahagian daripada gaya hidup anda, perkara pertama yang perlu anda buat ialah membuat pilihan – Adakah anda ingin melakukannya sendiri? Atau adakah anda ingin mendapatkan bantuan daripada perancang kewangan profesional?

Siapa yang Boleh Membantu?

Di Malaysia, golongan profesional yang boleh membantu anda merancang kewangan adalah perancang kewangan berlesen. Perancang kewangan ini menawarkan perkhidmatan mereka dengan memberikan nasihat yang disediakan khusus untuk memenuhi matlamat kewangan anda.
Jika anda ingin menggunakan perkhidmatan perancang kewangan, pastikan beliau mempunyai lesen sebagai penasihat kewangan yang sah. Selain itu, beliau mestilah seorang yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam industri ini.
Walau apapun pilihan anda, anda perlu berhati-hati dengan maklumat yang diberikan, lebih-lebih lagi apabila ia diberikan oleh perancang kewangan yang tidak memiliki kualiti yang sepatutnya. Oleh itu, bagi memastikan maklumat dan nasihat itu sahih dan bukan taktik jualan semata-mata, anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang betul

Merancang Kewangan Sendiri.

Jika anda seorang yang gemar membuat kaji selidik dan pengiraan, anda boleh memilih untuk merancang kewangan sendiri. Bagaimana caranya?
  • Membaca buku
  • Menghadiri kursus
Terdapat banyak buku dan kursus yang menawarkan panduan langkah demi langkah dalam merancang kewangan. Walaubagaimanapun, jika anda masih baru dalam bidang ini, anda perlu berhati-hati dengan apa yang dipelajari daripada buku-buku dan kursus tersebut kerana tidak semua maklumat yang diperolehi itu adalah tepat.
Sebelum menggunakan ilmu yang baru dipelajari, pastikan anda melakukan perkara-perkara berikut:
Periksa latar belakang pembekal maklumat 
  • Dapatkan maklumat yang mencukupi berkenaan pengalaman profesional, kelayakan pendidikan dan juga rekod prestasinya. Anda sepatutnya boleh memperolehi maklumat mengenai perkara sebegini di bahagian pengenalan sesuatu buku atau kursus. Jika maklumat yang ditawarkan nampak kabur atau terhad, anda perlu berwaspada dalam menerima nasihat-nasihat perancangan kewangan yang diberikan.  
Pastikan kesahihan maklumat yang diberikan  
  • Baca ulasan atau pandangan yang dibuat oleh individu atau badan yang diiktirafkan. Namun, kaedah ini juga masih tidak mencukupi kerana kadangkala liputan media mengenai sesuatu ulasan tersebut lebih kepada strategi pengiklanan daripada memberikan maklumat yang bermutu. Oleh itu, tidak kira dari mana anda memperolehi maklumat untuk merancang kewangan, anda perlu ingat bahawa tidak semua nasihat atau cadangan yang diberikan itu mengambilkira kepentingan anda atau perancangan kewangan yang di syorkan itu sesuai dengan anda.  
Buat penyelidikan sendiri mengenai pendekatan-pendekatan yang ada 
  • Setelah menjalankan penyelidikan bagi kedua-dua pendekatan, anda akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan tentang pendekatan manakah yang paling sesuai dengan tahap risiko dan ganjaran anda yang unik itu.

Bantu Saya!

Jika anda merasa kurang selesa membuat perancangan kewangan sendiri dan bercadang mendapatkan khidmat nasihat profesional, adalah diingatkan bahawa mencari penasihat kewangan yang bagus bukanlah semudah yang disangka. Ini adalah kerana kebanyakan “penasihat kewangan” atau “perunding kewangan” di pasaran hari ini sebenarnya lebih cenderung untuk membuat jualan supaya mereka mendapat komisen hasil jualan produk kewangan yang dijual kepada anda dan kadangkala tidak mementingkan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh mereka kepada anda dengan penuh komitmen dan kejujuran. Bagi sesetengah pihak, konflik kepentingan ini tidak dapat dielakkan kerana mereka lebih mementingkan penjualan produk kewangan tanpa mengira sama ada ia bersesuaian dengan pelan kewangan anda atau sebaliknya.
Salah satu cara yang lazim digunakan oleh perancang kewangan berasaskan komisen ini ialah mereka akan membuat panggilan yang tidak diundang dan menawarkan perkhidmatan mereka secara percuma. Jadi berwaspadalah dengan “nasihat pelaburan” yang diberikan secara percuma kerana tidak ada yang percuma dalam dunia sekarang ini.
Walau bagaimanapun, terdapat juga perunding kewangan berasaskan fi (fee-based) yang memperolehi pendapatan melalui perkhidmatan yang diberikan. Selalunya mereka menumpukan perhatian kepada pelanggan yang berharta. Walaupun mereka tidak bergantung kepada komisen hasil daripada jualan produk kewangan, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak mempunyai konflik kepentingan dengan anda. Memandangkan fi mereka adalah berdasarkan perkhidmatan yang diberi, ada kemungkinan mereka menyarankan strategi pelan kewangan yang sukar untuk difahami agar anda sentiasa bergantung kepada perkhidmatan mereka.
Jadi, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal perancang kewangan yang bagus? Selain daripada mengambil kira ciri-ciri yang disebutkan sebelum ini, salah satu cara lain untuk mengenalpasti perancang kewangan yang bagus ialah melalui rujukan yang dibuat oleh orang yang anda kenali. Anda boleh mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan yang mungkin merupakan pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan perancang kewangan tersebut. Perancang kewangan yang bagus akan membina reputasi mereka dengan mengamalkan sikap yang jujur dan tekun. Namun begitu, apa yang baik bagi orang lain tidak semestinya baik untuk diri anda. Jadi, ada baiknya anda membuat sedikit kajian dan menyelidik latar belakang seseorang perancang kewangan sebelum mendapatkan khidmat mereka.
Berikut adalah beberapa soalan asas yang perlu ditanya kepada perancang kewangan anda:
  • Sumber pendapatan – antara yuran pelanggan dengan komisen
  • Jadual bayaran atau komisen
  • Hubungan dan kaitan dengan syarikat-syarikat lain
  • Latar belakang pendidikan dan pengalaman profesional
  • Jenis-jenis produk yang dicadangkan

THE BEST OVERALL FUND GROUP AWARDS 2009

19 Nov 2009 | | 0 comments


6 Cara Untuk Menukar Simpanan Menjadi Pelaburan

| | 0 comments

1. Akaun Simpanan
 
Kelebihan
*Mudah dibuka dan dijaga.
*Keperluan minimum dan memang munasabah.
*Akses tunai adalah fleksibel.
.
Kekurangan;
*Pengeluaran tunai yang mudah boleh merosakan rancangan simpanan anda.
*Kadar Faedah yang agak rendah. Iaitu tidak melebihi daripada 1% setahun.
.
2. Deposit Tetap
 
Kelebihan;
* Kadar faedah lebih tinggi daripada akaun simpanan (3 % -4% setahun)
* Wang tidak boleh dibelanjakan sembarangan.
.
Kekurangan;
* Kadar faedah mungkin kurang daripada kadar inflasi. Contohnya, kadar inflasi sekarang ialah 8% sedangkan kadar bunga ialah 3.5 %. Maknanya, anda akan masih mengalami kerugian sekiranya memilih pelaburan cara ini.
* Pengeluaran kurang fleksible.
.
3. Harta tanah
 
Kelebihan;
* Satu rancangan “simpanan-paksa” yang baik.
* Sebagai Lindung nilai yang baik untuk mencegah inflasi.
* Boleh memberikan pulangan yang lumayan semasa ekonomi melambung.
.
Kekurangan:
* Untuk mula menyimpan memang sukar; kerana wang pendahuluan yang tinggi dan anda mestilah layak untuk mendapatkan pinjaman bank (min gaji bersih sebulan RM1500)
* Skim bayaran balik gadai janji jangka panjang yang tidak fleksible.
* Tidak boleh segera ditukar kepada tunai. (sukar kalau ada emergency kes).
.
4. Insurans Hayat.
 
Kelebihan;
* Satu alat simpanan serta perlindungan yang bermanfaat.
* Oleh sebab banyak polisi mengenakan penalti sekiranya menarik diri sebelum Insurans matang, maka ia bertindak sebagai makenisme untuk menggalakan simpanan.
* Terbukti sebagi rancangan “simpanan paksa” yang berkesan.
.
Kekurangan;
* Pulangan agak lebih rendah berbanding alat pelaburan jangka panjang yang lain.
* Kurang fleksibel.
.
5. Unit Amanah
 
Kelebihan;
* Alat pelaburan paling sesuai bagi penyimpanan yang buat simpanan kerap.
* Pulangan yang agak tinggi berbanding simpanan tetap. (Public Mutual antara 10%-25% setahun)
*Jumlah permulaan tidaklah sekecil yang dikehendaki untuk akaun simpanan. (Public Mutual min RM 1 ribu)
* Biasanya pelaburan mudah bertambah berasaskan simpanan kerap.
* Manfaat diperoleh melalui purata kos dolar. (ada masa saya huraikan)portfolio pelaburan yang seimbang yang anda tidak perlu uruskan.
* Anda boleh menjual unit anda apabila harganya memuaskan pada bila-bila masa.
.
Kekurangan;
* Terjejas akibat turun naik pasaran saham atau pasaran lain yang tabung tersebut dilaburkan. (tetapi bagi pelaburan jangka panjang keadaan ini tidak perlu dirisaukan).
.
6. Pasaran Saham
 
Kelebihan;
* Lebih memberangsangkan daripada akaun semasa.
* Boleh memberikan pulangan yang banyak apabila kena pada masanya.
.
Kekurangan;
* Anda perlukan jumlah wang yang agak besar untuk memasuki pasaran saham (min RM10 ribu)
* Bukan untuk penyimpanan biasa yang melabur cuma beberaa ratus ringgit sebulan.
*Anda memerlukan banyak maklumat pelaburan dan nasib yang baik untuk menguruskan sendiri palaburan anda dengan jayanya.
 
**Kesimpulannya, anda boleh menilai sendiri bentuk pelaburan yang bersesuaian dengan kemampuan dan matlamat pelaburan anda. Rujuklah perunding kewangan anda.
 


Utusan Malaysia Online - Korporat

12 Nov 2009 | | 0 comments

Utusan Malaysia Online - Korporat

PERIKSA KEDUDUKAN KEWANGAN ANDA.

1 Nov 2009 | | 0 comments

Suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita tidak boleh terus bekerja selama-lamanya. Samada kita masih mampu dari aspek fizikal atau mental, ia bukanlah persoalannya kerana menjelang umur 55, kebanyakan daripada kita akan menempuhi alam persaraan. Dalam situasi sebegini, kita perlu merancang bagaimana untuk terus menyara hidup dalam masa 20 tahun berikutnya kerana jangka hayat hidup seseorang ialah 75 tahun (berdasarkan laporan-laporan mengenai purata jangka hayat rakyat Malaysia).
Pernahkah kita terfikir bagaimana untuk meneruskan hidup selama 20 tahun lagi dalam keadaan selesa – setelah kesemua wang KWSP habis dibelanjakan untuk membiayai kos pendidikan anak-anak serta melangsaikan pinjaman bank? Lebih teruk lagi, bagaimana pula keadaannya sekiranya wang simpanan yang tinggal semakin sedikit setelah kita membeli kereta mewah dan rumah idaman yang telah sekian lama diimpikan. Bagi mengatasi masalah seumpama ini, kita perlu berusaha menggandakan wang untuk memastikan kita dapat meneruskan hidup dalam keadaan selesa selepas bersara.
Bagi menyelesaikan masalah di atas, kita perlu mengetahui kedudukan kewangan sendiri dan cara-cara menilai kedudukan kewangan kita.
Langkah-langkah berikut dapat membantu anda melakukan ‘Pemeriksaan Kewangan’ anda.

Langkah 1 – Ujian Sumber-Sumber Pendapatan Utama
Untuk mengetahui kedudukan kewangan semasa, anda perlu mengetahui aliran keluar dan masuk wang anda. Anda perlu mengenal pasti sumber-sumber utama pendapatan anda, iaitu wang yang masuk ke kocek anda seperti gaji, dividen, keuntungan modal, pendapatan dari hartanah yang disewakan, pembahagian daripada perniagaan, faedah daripada simpanan bank dan simpanan tetap.
Umumnya, jumlah pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu pendapatan yang diperolehi, pendapatan pasif dan pendapatan portfolio. Pendapatan yang diperolehi ialah wang gaji anda. Lazimnya, pendapatan ini dikenakan cukai yang lebih tinggi berbanding jenis pendapatan yang lain.
Pendapatan pasif pula ialah wang yang diperolehi daripada pelaburan hartanah dan pembahagian daripada perniagaan. Pendapatan jenis ini tidak memerlukan perhatian yang banyak daripada anda, namun ia mampu menjana aliran kewangan yang berterusan.
Pendapatan portfolio ialah wang yang diperolehi hasil daripada pelaburan anda dalam produk kewangan seperti dividen saham, pendapatan daripada bon dan juga pulangan daripada unit amanah. Ini juga merupakan sejenis pendapatan pasif yang tidak memerlukan penglibatan langsung dalam menjana pendapatan.

Langkah 2 – Ujian Sumber-Sumber Perbelanjaan Utama
Perbelanjaan ialah wang yang keluar dari kocek anda, iaitu wang yang perlu dibelanjakan untuk menampung gaya hidup seseorang. Contoh-contoh perbelanjaan termasuklah membayar bil kad kredit, ansuran pinjaman perumahan dan kenderaan, bil elektrik, air, telefon, membeli barang runcit, cukai, perjalanan, hiburan dan pelbagai perbelanjaan peribadi yang lain.
Bagi mengetahui kedudukan kewangan anda, periksa berapa perbelanjaan yang telah anda buat. Salah satu sebab mengapa ramai orang tidak mempunyai simpanan yang cukup setelah bersara ialah kerana mereka tidak mengawal perbelanjaan mereka. Mereka tidak tahu berapa wang yang dibelanjakan setiap bulan. Apa yang pasti ialah mereka sentiasa kekurangan wang untuk menyara gaya hidup mereka. Gaji yang diperoleh setiap bulan tidak pernah mencukupi dan akibatnya, mereka terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan bulanan mereka.
Salah satu cara untuk mengetahui ke mana perginya wang anda ialah dengan mencatat setiap pembelian yang dibuat. ‘JOT-IT-DOWN’! – merupakan satu kaedah yang mengambil masa, tetapi dalam jangka masa panjang, ia merupakan satu amalan yang menguntungkan kerana anda akan dapat mengetahui aliran keluar wang anda. Sekiranya sukar untuk mencatatkan kesemua perbelanjaan anda, setidak-tidaknya, pastikan anda membuat catatan apabila membeli barang yang mahal. Ramai yang akan terkejut apabila mengetahui jumlah yang dibelanjakan untuk membeli sesuatu barang. Rujuk jadual di bawah untuk mengetahui cara-cara membuat penyata kewangan anda

Langkah 3 - Peraturan 90 Peratus
Ken Little dalam bukunya yang bertajuk Personal Finance At Your Fingertips menyarankan agar kita menyimpan 10 peratus daripada pendapatan yang diperolehi.
Di Malaysia tahap inflasi menyebabkan agar sukar untuk menyimpan 10 peratus daripada pendapatan kita. Tidak kira berapa peratusan yang anda simpan 5 peratus, 10 peratus atau 15 peratus daripada pendapatan anda, apa yang paling penting anda mengamalkan tabiat menyimpan dan mula menyimpan wang anda.


Anda perlu mula menyimpan suatu hari nanti tetapi kenapa tidak mulakan pada hari ini.