MENGENAL PAKAR KEWANGAN PALSU.

26 Nov 2009 | |

Rancang Sendiri atau Dapatkan Bantuan?

Sekiranya anda sudah menyedari kepentingan merancang kewangan dan ingin maju ke hadapan dengan menjadikan perancangan kewangan sebahagian daripada gaya hidup anda, perkara pertama yang perlu anda buat ialah membuat pilihan – Adakah anda ingin melakukannya sendiri? Atau adakah anda ingin mendapatkan bantuan daripada perancang kewangan profesional?

Siapa yang Boleh Membantu?

Di Malaysia, golongan profesional yang boleh membantu anda merancang kewangan adalah perancang kewangan berlesen. Perancang kewangan ini menawarkan perkhidmatan mereka dengan memberikan nasihat yang disediakan khusus untuk memenuhi matlamat kewangan anda.
Jika anda ingin menggunakan perkhidmatan perancang kewangan, pastikan beliau mempunyai lesen sebagai penasihat kewangan yang sah. Selain itu, beliau mestilah seorang yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam industri ini.
Walau apapun pilihan anda, anda perlu berhati-hati dengan maklumat yang diberikan, lebih-lebih lagi apabila ia diberikan oleh perancang kewangan yang tidak memiliki kualiti yang sepatutnya. Oleh itu, bagi memastikan maklumat dan nasihat itu sahih dan bukan taktik jualan semata-mata, anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang betul

Merancang Kewangan Sendiri.

Jika anda seorang yang gemar membuat kaji selidik dan pengiraan, anda boleh memilih untuk merancang kewangan sendiri. Bagaimana caranya?
  • Membaca buku
  • Menghadiri kursus
Terdapat banyak buku dan kursus yang menawarkan panduan langkah demi langkah dalam merancang kewangan. Walaubagaimanapun, jika anda masih baru dalam bidang ini, anda perlu berhati-hati dengan apa yang dipelajari daripada buku-buku dan kursus tersebut kerana tidak semua maklumat yang diperolehi itu adalah tepat.
Sebelum menggunakan ilmu yang baru dipelajari, pastikan anda melakukan perkara-perkara berikut:
Periksa latar belakang pembekal maklumat 
  • Dapatkan maklumat yang mencukupi berkenaan pengalaman profesional, kelayakan pendidikan dan juga rekod prestasinya. Anda sepatutnya boleh memperolehi maklumat mengenai perkara sebegini di bahagian pengenalan sesuatu buku atau kursus. Jika maklumat yang ditawarkan nampak kabur atau terhad, anda perlu berwaspada dalam menerima nasihat-nasihat perancangan kewangan yang diberikan.  
Pastikan kesahihan maklumat yang diberikan  
  • Baca ulasan atau pandangan yang dibuat oleh individu atau badan yang diiktirafkan. Namun, kaedah ini juga masih tidak mencukupi kerana kadangkala liputan media mengenai sesuatu ulasan tersebut lebih kepada strategi pengiklanan daripada memberikan maklumat yang bermutu. Oleh itu, tidak kira dari mana anda memperolehi maklumat untuk merancang kewangan, anda perlu ingat bahawa tidak semua nasihat atau cadangan yang diberikan itu mengambilkira kepentingan anda atau perancangan kewangan yang di syorkan itu sesuai dengan anda.  
Buat penyelidikan sendiri mengenai pendekatan-pendekatan yang ada 
  • Setelah menjalankan penyelidikan bagi kedua-dua pendekatan, anda akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan tentang pendekatan manakah yang paling sesuai dengan tahap risiko dan ganjaran anda yang unik itu.

Bantu Saya!

Jika anda merasa kurang selesa membuat perancangan kewangan sendiri dan bercadang mendapatkan khidmat nasihat profesional, adalah diingatkan bahawa mencari penasihat kewangan yang bagus bukanlah semudah yang disangka. Ini adalah kerana kebanyakan “penasihat kewangan” atau “perunding kewangan” di pasaran hari ini sebenarnya lebih cenderung untuk membuat jualan supaya mereka mendapat komisen hasil jualan produk kewangan yang dijual kepada anda dan kadangkala tidak mementingkan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh mereka kepada anda dengan penuh komitmen dan kejujuran. Bagi sesetengah pihak, konflik kepentingan ini tidak dapat dielakkan kerana mereka lebih mementingkan penjualan produk kewangan tanpa mengira sama ada ia bersesuaian dengan pelan kewangan anda atau sebaliknya.
Salah satu cara yang lazim digunakan oleh perancang kewangan berasaskan komisen ini ialah mereka akan membuat panggilan yang tidak diundang dan menawarkan perkhidmatan mereka secara percuma. Jadi berwaspadalah dengan “nasihat pelaburan” yang diberikan secara percuma kerana tidak ada yang percuma dalam dunia sekarang ini.
Walau bagaimanapun, terdapat juga perunding kewangan berasaskan fi (fee-based) yang memperolehi pendapatan melalui perkhidmatan yang diberikan. Selalunya mereka menumpukan perhatian kepada pelanggan yang berharta. Walaupun mereka tidak bergantung kepada komisen hasil daripada jualan produk kewangan, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak mempunyai konflik kepentingan dengan anda. Memandangkan fi mereka adalah berdasarkan perkhidmatan yang diberi, ada kemungkinan mereka menyarankan strategi pelan kewangan yang sukar untuk difahami agar anda sentiasa bergantung kepada perkhidmatan mereka.
Jadi, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal perancang kewangan yang bagus? Selain daripada mengambil kira ciri-ciri yang disebutkan sebelum ini, salah satu cara lain untuk mengenalpasti perancang kewangan yang bagus ialah melalui rujukan yang dibuat oleh orang yang anda kenali. Anda boleh mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan yang mungkin merupakan pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan perancang kewangan tersebut. Perancang kewangan yang bagus akan membina reputasi mereka dengan mengamalkan sikap yang jujur dan tekun. Namun begitu, apa yang baik bagi orang lain tidak semestinya baik untuk diri anda. Jadi, ada baiknya anda membuat sedikit kajian dan menyelidik latar belakang seseorang perancang kewangan sebelum mendapatkan khidmat mereka.
Berikut adalah beberapa soalan asas yang perlu ditanya kepada perancang kewangan anda:
  • Sumber pendapatan – antara yuran pelanggan dengan komisen
  • Jadual bayaran atau komisen
  • Hubungan dan kaitan dengan syarikat-syarikat lain
  • Latar belakang pendidikan dan pengalaman profesional
  • Jenis-jenis produk yang dicadangkan

0 comments: