UNIT AMANAH

25 Dec 2009 | |

APA ITU DANA UNIT AMANAH
Unit Amanah merupakan suatu alat pelaburan kolektif, di mana modal para pelabur dikumpulkan ke dalam satu dana untuk diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Dana tersebut akan dilaburkan di dalam pelbagai portfolio ekuiti, sekuriti pendapatan tetap dan aset-aset lain yang dibenarkan oleh surat ikatan di samping Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Dana Unit Amanah.


BAGAIMANA UNIT AMANAH BERFUNGSI
Unit amanah membabitkan penglibatan tiga pihak iaitu Pemegang Unit / Pelabur yang melabur dalam sesuatu dana amanah, Pemegang Amanah yang bertindak sebagai badan bebas dan penjaga aset yang dilabur dan Syarikat Pengurusan yang menyediakan kepakaran teknikal untuk menguruskan dana berkenaan. Operasi sesuatu skim unit amanah itu ditadbirkan oleh satu dokumen perundangan yang dipanggil Suratikatan. Ia menyatakan tentang hak dan tanggungjawab Pengurus dan Pemegang Amanah serta hak Pemegang Unit. Ia juga menyatakan secara terperinci bagaimana unit amanah itu harus beroperasi dan diuruskan serta bagaimana menentukan kadar bayaran yuran.


Selain itu, penasihat syariah dilantik oleh pihak syarikat pengurusan unit amanah bagi menyelia aktiviti pelaburan unit amanah Islam agar ianya berlandaskan hukum syariah.


Jenis pulangan atau perolehan pendapatan dari unit amanah adalah seperti berikut:-


Dividen
Pelaburan yang dibuat dalam saham atau bon akan menghasilkan dividen, dan kemudiannya akan diagihkan kepada pelabur dalam bentuk tunai atau lebih dikenali sebagai dividen.


Perolehan Modal (Capital Gain)
Keuntungan dari pelaburan juga boleh dibuat dengan penambahan nilai modal iaitu melalui pecahan unit (unit split).


Perubahan Harga Saham
Pelabur boleh mendapat keuntungan tambahan apabila harga saham lebih tinggi daripada harga belian. Pelaburan Unit Amanah merupakan pelaburan untuk jangkamasa sederhana/panjang (medium to long term investment). Pelabur boleh memilih dana yang sesuai dengan objektif pelaburan


KELEBIHAN MELABUR DALAM UNIT AMANAH


Pengurusan Dana Profesional
Pelaburan di dalam dana unit amanah diurusselia oleh pengurus dana profesional yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai ekonomi dan penyelidikan korporat dan mengenalpasti pelaburan yang berpotensi. Mereka mempunyai akses kepada pelbagai bahan-bahan ekonomi dan penyelidikan korporat.


Mempelbagai Peluang
Pelaburan di dalam dana unit amanah menyediakan peluang untuk melebarkan portfolio pelaburan melalui pelbagai jenis saham dan terbitan walaupun dengan modal yang kecil.


Memudahkan Transaksi
Menyediakan para pelabur dengan kaedah yang lebih mudah, lebih selesa dan bebas dari kerumitan untuk melakukan pelaburan saham berbanding memegang portfolio sendiri di pasaran saham.


Meminimakan Risiko
Mempelbagaikan portfolio melebarkan pendedahan para pelabur daripada risiko, menerusi keluasan portfolio saham dan derivatif, yang mana menawarkan pelbagai jenis risiko yang berbeza.


Kecairan
Pemegang unit boleh mencairkan kesemua atau sebahagian daripada unit-unit mereka pada bila-bila masa sepanjang hari perniagaan tanpa sebarang kesukaran.


Potensi Pertumbuhan Modal
Di dalam jangka panjang, pada amnya potensi pulangan melalui pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan adalah lebih tinggi berbanding simpanan di bank-bank. Oleh itu, pelaburan dalam unit amanah boleh digunakan untuk keperluan masa depan seperti pendidikan anak-anak, persaraan atau menunaikan umrah.


Faedah dari “ringgit cost averaging”
Melalui prinsip ini, pelabur akan mendapat keuntungan dalam kos purata ringgit tidak kira keadaan pasaran turun atau naik. Pelabur hanya perlu menyimpan secara tetap dengan konsisten dalam jangkamasa sederhana. Oleh itu, pelabur tidak perlu risau akan masa yang sesuai untuk melabur.


Takaful PERCUMA
Terdapat beberapa dana yang memberi insurans takuful percuma. Ini memberikan faedah lanjut kepada pelabur kerana selain melabur anda juga dilindungi.


Undang-Undang Terjamin
Industri unit amanah diperkenalkan bersama-sama beberapa undang-undang dan peraturan bagi tujuan untuk menjaga kepentingan pihak syarikat serta pelabur. Antara pihak-pihak yang terlibat adalah Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commission), Pemegang Amanah (Trustees), Juruaudit (Auditors) dan Federation of Malaysian Unit Trust Managers (FMUTM). Selain itu, penasihat syariah dilantik oleh pihak syarikat pengurusan unit amanah bagi menyelia aktiviti pelaburan unit amanah Islam agar ianya berlandaskan hukum syariah.


PERBANDINGAN DENGAN PELABURAN SAHAM & SIMPANAN DI BANK


Pelaburan Unit Amanah dan Pelaburan Saham
Secara umumnya, pelaburan saham dapat memberikan pulangan terbaik dalam tempoh jangkamasa panjang tetapi disebabkan harganya boleh turun naik terutamanya dalam jangkamasa singkat, ia dianggap sebagai pelaburan yang berisiko. Manakala, bagi pelaburan di dalam unit amanah, risiko telah dikurangkan disebabkan oleh pelbagaian pelaburan.


Pelaburan Unit Amanah dan Deposit di Bank
Bagi deposit di bank pula ianya tidak berubah daripada segi nilainya tetapi pulangannya lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan unit amanah yang mana walaupun mempunyai risiko, tetapi dikurangkan dengan pelbagaian pelaburan yang baik.




Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-


Suffiean Hj Sulaiman
Perunding Unit Amanah
Sms : 012-9222769
H/Line: 019-9222799
Email : suffiean@ymail.com

0 comments: